Many National Sports Associations are complaining about the hight cost of rental for usage of the Tun Razak Hockey Stadium and the National Tennis Centre. They want the National Sports Council (NSC) to manage both the venues again. The following report was published in Mingguan Malaysia, today.
Sewa kompleks hoki, tenis makin mahal
Pengurusan Kompleks Tenis Jalan Duta dan Stadium Hoki Tun Razak di Kuala Lumpur perlu dikembalikan kepada Majlis Sukan Negara secepat mungkin bagi memudahkan pertubuhan sukan menggunakan kemudahan asas yang tersedia.
Sejak pengurusan diserahkan kepada Perbadanan Stadium Merdeka mulai 1 Mac lepas, banyak persatuan sukan merungut terutama sekali caj tempahan atau sewaan yang dikenakan melambung naik.
"Pengurusan berkenaan menganggap bahawa misi mereka adalah mencari keuntungan dan bukan lagi menyediakan kemudahan bagi atlet," kata Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Datuk A. Razak Latiff.
"Kami sendiri terpaksa merebut-rebut untuk melakukan tempahan gelanggang. Kami bersaing dengan tempahan komersial. Tak kan LTAM terpaksa menempah gelanggang luar manakala pejabat kami di kompleks ini. Bilik penginapan pun melambung naik, mana persatuan lain boleh menyewanya."
Katanya, kemudahan asas disediakan kerajaan untuk membangunkan sukan dan bukan bagi menagih keuntungan secara komersial.
"Tanpa kemudahan asas sukan yang cukup, tak perlulah kita mempunyai impian untuk maju dalam sukan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Ar. Mir Shahariman Shaharuddin juga mahukan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bertindak segera.
"Pulangkan kepada badan yang lebih bertanggungjawab seperti MSN. Persatuan kami menempah bilik untuk banyak pertandingan di sini sejak tahun 1995 dan memperoleh harga berpatutan.
"Kriket Melayu telah membangunkan kriket dari peringkat akar umbi dan menerima pelbagai anugerah antarabangsa dan kegemilangan ini perlu dikongsi bersama," katanya.
Harga bilik penginapan di kompleks tenis itu melonjak naik mendadak apabila pengurusan bertukar. Ia merupakan tempat yang ideal untuk penginapan berbanding hotel bagi pemain remaja bawah 12 kerana mereka sering ditemani ibu bapa atau penjaga pada sesuatu kejohanan.
"Kami harap menteri segera campur tangan kerana kadar sewaan semacam hotel ini akan menyeksa mereka yang bergiat dalam sukan. Sepatutnya kita meramaikan lagi pembabitan dengan menyediakan banyak kemudahan asas kalau ingin menjadikan sukan sebagai industri," kata Mir Shahariman.
Isu mengenakan caj tinggi itu juga dibangkitkan oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad yang telah menulis ulasan dan cadangannya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim tidak lama dulu.
Tetapi malangnya, sehingga sekarang dia perkembangan langsung daripada timbalan menteri itu.
Setiausaha Persekutuan Hoki Malaysia, Hashim Yusoff juga berang apabila kadar sewaan Stadium Hoki Tun Razak naik melebihi tiga kali ganda apabila pengurusan bertukar.
"Ini sudah melampau. Sepatutnya pihak kerajaan yang menyediakan kemudahan sukan tetapi Perbadanan Stadium Merdeka mengkomersialkan kegiatan dan meraih keuntungan untuk membiayai pelbagai belanja pentadbiran," katanya.
Hashim berharap agar pengurusan kedua-dua gelanggang ini diberikan semula untuk MSN kerana fungsinya selari dengan pembangunan sukan di negara ini.
No comments:
Post a Comment