Sunday, November 29, 2009

Fazin diberi surat tunjuk sebab

Majlis Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) telah memutuskan sebulat suara untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada bekas pemangku Setiausaha Kehormat persatuan itu, Haji Fazin Saad.

Surat tunjuk sebab itu, yang ditandatangani oleh pemangku Setiausaha Kehormat yang baru, Firdaus Arshad dihantar minggu lalu dan Fazin diminta mengemukakan jawapan secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.

Surat itu bertarikh 25 Oktober 2009. Mesyuarat 3 November 2009 itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBKL, Daud Abu Kassim.

Menurut surat itu, majlis PBKL memutuskan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab itu atas empat pertuduhan yang berkaitan dengan penganjuran program '50 Jam Tanpa Henti Cabaran Kecergasan Merdeka 2007.

Empat pertuduhan itu, adalah seperti berikut:
1. Bahawa tuan mengetahui penganjuran program '50 Jam Tanpa Henti Cabaran Kecergasan Merdeka 2007' di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil pada 26 Ogos 2007 ditauliahkan kepada PBKL oleh Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan peruntukkan RM17,000 pada Mesyuarat MKK (20 Ogos 2007) tetapi kenapa PBKL tidak menerima dana tersebut?

2. Bahawa tuan kelihatan mengelolakan acara ini berseorangan dengan dibantu oleh pegawai-pegawai dan petugas-petugas PBKL yang berlainan daripada keputusan Mesyuarat Pelaksana pada 24 Ogos 2007. Benarkah, MKK tidak iktiraf PBKL dari aspek pengeluaran pembayaran program ini?

3. Bahawa tuan gagal memaklumkan, MKK telah keluar pembayaran kepada pihak ketiga (Individu?) di antara 21 - 24 Ogos 2007. Dari mana datangnya 'Hadiah Wang Tunai, Elaun Petugas, sewa peralatan dan lain-lain yang dibayar semasa itu?

4. Bahawa tuan memahami program ini adalah 'Aktiviti Tahunan 2007 PBKL' dan segala transaksi Wang Masuk/ Wang Keluar hendaklah direkodkan bersama baki penjimatan/ lebih perbelanjaan diistiharkan. Oleh itu, pihak mana yang menerima dana perlu bekalkan laporan lengkapnya.

Surat itu juga menyebut bahawa isu ketidaktelusan pendapatan kepada PBKL secara tidak langsung telah menjejaskan penyediaan Laporan Kewangan Bagi Tahun 2007, 2008 dan 2009.

Lain-lain keputusan Majlis PBKL:

1. Majlis sebulat suara menolak surat perletakan jawatan oleh Presiden PBKL, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim (gambar).

2. PBKL akan menyerahkan semula pengurusan Velodrom Kuala Lumpur kepada Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL). Bagaimanapun, PBKL akan mohon kebenaran untuk menggunakan ruang pejabat dan bilik mesyuarat di Velodrom.

3. Mesyuarat Agung PBKL ke-20 ditangguhkan buat sementara waktu sehingga SPRM selesai siasatannya kerana agenda kewangan wajib dibentangkan dan keadaan ini sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia semasa sesi perbincangan pada 19 Oktober lalu.

3. Mesyuarat bersetuju melantim Firdaus Arshad untuk memangku jawatan Setiausaha Kehormat manakala Haji Badri Mukri menguruskan hal-hal berkaitan kewangan dan pemangkuan ini sah sehingga Mesyuarat Agung semula diadakan.

4. Ramlan Mohd Said dilantik Pengurus pasukan ke SUKMA 2010 manakala Nor Effandy Rosli dan Firdaus sebagai jurulatih.

No comments:

Post a Comment