Sunday, May 31, 2009

Belajar dari Korea

Dulu orang sering memperkatakan tentang betapa hebatnya peningkatan bolasepak di Korea Selatan, negara yang pernah dianggap sebagai sama taraf dengan Malaysia dalam sukan di masa lalu.
Dan, sementara mereka masih bercakap-cakap mengenai hal itu, Korea terus maju dan muncul sebagai kuasa baru Asia dan dunia dalam hoki dan badminton disamping terus melahirkan jaguh-jaguh olahraga, jimnastik, taekwondo, bowling dan lumba basikal.
Sekarang mereka sedang menunggu untuk mengambil alih sebagai kuasa baru dalam squash, sukan yang hingga saat ini dikatakan dikuasai oleh barisan pemain Malaysia, yang diketuai oleh pemain nombor satu dunia, Nicol Ann David, dan Mesir.

Korea yang dianggap pendatang baru dalam squash, dengan hanya menggunakan khidmat jurulatih-jurulatih tempatan sahaja, kini mulai mencapai kejayaan luar dugaan di peringkat antarabangsa. Pada Kejohanan Belia Asia di Chennai, India pada 16-13 Januari tahun ini, buat pertama kalinya Korea mara ke perlawanan akhir, tetapi tewas kepada Malaysia.
Pada perlawanan akhir itu, Malaysia menewaskan Korea 2-0. Low Wee Wern menewaskan Sun-Misong 11-8, 11-2, 11-2 dan Low Wee Nee mengalahkan Ji-Hyung Le 11-4, 11-4, 11-7. Mungkinkah Sun-Misong dan Ji-Hyung Lee bakal menjadi bintang-bintang squash baru Asia?

Malaysia yang lebih lama dalam squash, sampai sekarang bergantung kepada jurulatih luar negara. Hakikat in sahaja cukup sebagai bukti bahawa sistem sukan di negara itu berkesan dan sekarang ini hasilnya mulai kelihatan di peringkat antarabangsa.
Dalam bolasepak, Korea terus meninggalkan Malaysia dan kebanyakan negara Asia jauh di belakang. Pada 1983, ia menjadi negara Asia yang pertama untuk memperkenalkan liga professional yang kemudiannya diberi nama sebagai Liga Korea dalam tahun 1994.
Di tahun yang sama Korea layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Los Angeles. Tahun lalu Korea memperkenalkan Liga-U untuk Universiti dan Pusat-pusat pengajian tinggi. Perlawanan Liga-U diadakan setiap Khamis dan setakat ini ia disertai oleh 10 pasukan.
Hujung tahun lalu, bolasepak di Korea mencatat satu kemajuan besar apabila Persatuan Bolasepak Korea (KFA) dan Kementerian Pendidikan negara itu menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyeleraskan pertandingan-pertandingan peringkat umur.
Tanpa MoU itu, sama seperti di kebanyakan negara, kedua-dua pihak akan mempunyai pertandingan bawah umur yang berlainan. Contohnya persatuan bolasepak akan meganjur bawah umur 13, 15 dan 17 manakala sekolah-sekolah pula bawah 12, 18 dan 21.
KFA dan pihak sekolah-sekolah sedar bahawa ini adalah suatu pembaziran masa, tenaga dan wang. Dengan sistem baru yang dilaksanakan tahun ini, KFA akan memasukkan pertandingan sekolah d dalam kalendarnya dan menyediakan kepakaran teknikal.
Ini sudah tentu akan membawa Korea mempunyai asas yang mantap dan seterusnya semakin maju dan hebat pada masa akan datang.
Sukan di Korea boleh maju sedemikian kerana komitmen dan passion mereka yang terlibat untuk belajar dari orang lain, dengar daripada pakar-pakar dan berusaha bersungguh-sungguh selain mempunyai mentality sedia menerima perubahan.
Pada tahun 1980an, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu, Datuk Mazlan Ahmad pernah mencadangkan supaya persatuan-persatuan sukan dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif badan-badan korporat.
Ia merupakan satu konsep yang ada persamaan dengan di Korea. Namun, penerimaa konsep ini bererti ada pihak yang harus berkorban dan berundur. Malangnya cadangan ini tida mendapat sambutan kerana masing-masing mahu berpegang kepada “jawatan, kuasa dan pengaruhnya”.
Semua pihak yang terlibat dalam sukan di Malaysia perlu bersedia untuk melihat perubahan dan pembaharuan, barulah boleh berlaku sports revival di negara kita. Kalau Korea boleh, pastinya Malaysia pun boleh cuba.

Hormati "aset" sukan negara

PENGURUSAN aset adalah satu aspek yang penting kerana ia boleh memberi gambaran tentang kekuatan sebenar satu-satu organisasi.

Dalam dunia komersial aset termasuk harta dan pelaburan-pelaburan lain selain tenaga kerja. Di Sukan juga ada “aset” dan pengelolaannya dengan efektif boleh membawa impak kepada masa depan sukan negara.
Satu “aset” yang hampir terabai adalah bekas jaguh-jaguh sukan negara. Majoriti daripada mereka mempunyai karisma dan kewibawaan selain passion untuk mencurahkan khidmat demi kemajuan sukan.

Malaysia mempunyai ramai jaguh-jaguh yang pernah “berjuang” di peringkat tertinggi, termasuk di Sukan Olimpik.
Biasanya, trend ada yang ada sekarang ialah untuk memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya. Ini termasuk darjah kebesaran, skim kebajikan dan mungkin juga dimasukkannya dalam Dewan Kemashyuran. Semua ini memang bagus sebagai penghargaan.
Namun kita selalu lupa untuk menghomati kejayaan mereka dan penghormatan yang terbaik bagi boleh diberikan ialah dengan memberi kesempatan untuk berkhidmat sama ada dengan beri nasihat atau terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi hingga ke yang tertinggi.
Mendiang Dato’ Ho Koh Chye pernah menyatakan bahawa penghormatan terbesar yang negara berikan kepadanya adalah apabila diberi kepercayaan selaku Chef De Mission ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
Jaguh badminton, Tan Yee Khan dengan bangga sering menceritakan bagaimana pasukan Korea berkunjung ke Pulau Pangkor untuk berbincang dan mendapat nasihat daripadanya.
Shaharudin Jaffar, pelumba basikal pertama untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA, begitu passionate tentang sukan kegemaraannya itu, hingga beliau terus aktif mempopularkan lumba basikal di sekolah-sekolah dan diperingkat komuniti.
Beliau juga mewujudkan Panel Pengerak Sukan Lumba basikal atas iniatif sendiri dan sekarang memberi nasihat dan bimbingan kepada kelab-kelab dan pertubuhan-pertubuhan yang minat menubuhkan pasukan lumba basikalnya.
Baru-baru ini banyak yang dilaporkan mengenai keadaan pasukan lebuh raya negara. Shaharudin dan jaguh-jaguh lain seperti Daud Ibrahim boleh membantu memperbaikki keadaan ini. Namun, belum ada usaha seperti itu.
Baru-baru ini China mengumumkan hasratnya untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha melahirkan ramai pemain badminton yang berkaliber dan usaha ini termasuk menghidupkan semula Liga Profesional. China menganggap bahawa mempunyai 1,000 pemain berdaftar tidak mencukupi. Di Malaysia, sukan badminton terus mengharapkan Lee Chong Wei, 27, dan rakan-rakannya yang semakin lama semakin sukar untuk menandingi lawan-lawan yang sebelum ini dianggap sama taraf. Britain pula memenangi lapan pingat emas di Sukan Olimpik lalu melalui lumba basikal dan pelumbanya, Chris Hoy, 32, muncul sebagai pelumba paling berjaya dengan memenangi tiga pingat emas di satu Olimpik.
Malaysia perlu belajar daripada kedua negara itu dan orang-orang terbaik bagi tugas ini adalah jaguh-jaguh sukan lalu yang tentunya dapat membuat kajian yang lebih efektif berbanding jika ianya dilakukan oleh orang-orang tanpa latar belakang sukan.
Jaguh-jaguh sukan ini boleh memainkan peranan sebagai kumpulan yang mengkaji sistem di satu-satu negara dan beri cadangan mengenai bagaimana ia boleh dipraktikan di negara kita.
Mereka juga boleh diberi tugas untuk memantau dan mengenalpasti bakat-bakat baru di peringkat akar umbi. Kepakaran dan pengalaman mereka sangat perlu untuk menilai bakat-bakat mana yang harus dimasukkan dalam projek-projek spesifik seperti Olimpik 2016 dan atau diserapkan ke program pelapis serta Sekolah Sukan.
Program Pelapis dan Sekolah Sukan sangat perlu bagi masa depan sukan namun ia tidak mungkin efektif apabila perkembangan di akar-umbi tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Sekarang ini hanya sekumpulan kecil jaguh-jaguh lalu diberi kesempatan untuk berkhidmat demi kebaikkan sukan. Mereka tidak berpeluang berkhidmat dengan memegang jawatan dalam Persatuan-persatuan kerana sering dihalang oleh peruntukkan-peruntukkan dalam perlembagaan yang kononnya bertujuan melindungi badan itu.“Aset Sukan Negara” sudah lama terabai, mungkin sudah sampai waktunya untuk perubahan. Sukan harus dikendalikan oleh orang sukan.

Olympism antara ubatnya

Apabila Pierre de Coubertin, seorang aristokrat Perancis, mencadangkan supaya Sukan Olympik dihidupkan semula, beliau mengharapkan agar sukan akan memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran, sikap dan perangai generasi muda.

Coubertin melihat sukan sebagai asas untuk membentuk dasar etika yang dan beliau amat tertarik dengan falsafah di Greece lebih 3,000 tahun sebelum itu dimana sukan menjadi bahagian penting dalam pendidikan, selain dianggap sebagai kritikal dalam membentuk kesimbangan fizikal dan mental seseorang..

Olympiad moden yang pertama diadakan di Athens pada 1896 dan itu adalah detik permulaan Prinsip-prinsip asas Olympism, seperti yang termaktub dalam Piagam Olimpik (2004), diperkenalkan ke seluruh dunia.

Coubertin meninggal dunia pada 1937, tetapi rakan-rakannya yang mulai sedar betapa pentingnya proses pendidikan bagi menerapkan nilai-nilai utama (core values) pergerakkan Olimpik serta prinsip-prinsip positif yang lain ke dalam sukan, membawa kepada penubuhan Akademi Olimpik Antarabangsa (IOA).

Seterusnya, semua 205 negara anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) digalakkan menubuhkan sebuah Akademi Olimpik Nasional (NOA) sendiri dan sehingga ini 150 buah Negara, termasuk Malaysia, sudah membentuknya. NOA di Malaysia berada di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tiga nilai utama yang ditekankan oleh pergerakkan Olimpik adalah Kecemerlangan, Persahabatan dan Menghormati (Excellence, Friendship and Respect).

Melalui kecemerlangan, setiap orang yang terlibat dalam sukan harus punyai keazaman untuk memberi yang terbaik di atas padang, gelanggang mahupun di bidang professional masing-masing. Ia bukan sahaja mengenai mencapai kemenangan, tetapi juga mengenai bertanding dan berjaya dalam kerjaya dan aspek lain kehidupan sehari-harian.

Pastinya scenario sukan di Malaysia akan banyak berubah jika mereka yang terlibat dalam sukan – jurulatih, pentadbir, ibubapa dan ahli-ahli sukan – mempamer nilai ini dalam karakter mereka dan tentunya kita akan melihat banyak pencapaian-pencapaian yang hebat.

Persahabatan memerlukan kita menerima sukan sebagai alat yang akan mengeratkan hubungan dan persefahaman antara individu dari seluruh dunia. Sukan Olimpik adalah lambing kemanusian (humanity) mengatasi perbezaan politik, ekonomi dan batas-batas kaum, agama dan jantina.

Faktor ini boleh menolong dalam mengurangkan masalah politik sukan yang semakin tidak menentu sekarang ini. Sering terjadi perbalahan dalam sukan kerana soal persahabatan dalam sukan tidak lagi diberi penekanan.

Nilai yang ketiga ialah mengormati diri, orang lain, peraturan pertandingan dan alam semulajadi. Jika seorang ahli sukan tidak dididik tentang menghormati, pastinya dia akan senantiasa mempertikaikan keputusan pengadil dan sangat sukar baginya menerima fairplay.

Seorang yang diterapkan nilai ketiga ini akan menjauhkan diri daripada masalah dadah, rasuah dan hal-hal tidak beretika dalam sukan.

Beberapa waktu yang lalu, peminat sukan digemparkan dengan berita mengenai para pemain sebuah pasukan kebangsaan remaja yang merokok dan minum minuman keras. Ini disebabkan mereka tidak diberi pendidikan dalam soal menghormati peraturan yang memerlukan seorang ahli sukan menjauhkan diri dari gejala-gejala seperti itu.

Selain tiga nilai utama ini adalah tambahan lain serta prinsip lain. Hakikatnya, sukan tidak boleh wujud tanpa dikaitkan dengan penerapan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Coubertin dan rakan-rakannya.

Ia mungkin bukan jawapan muktamad bagi menyelesaikan keadaan sukan yang sangat menyedihkan pada masa kini namun ia boleh menjadi antara langkah bagi memulihkan sukan ke tahap yang kembali di sukai dan diminati.

Terlalu banyak penekanan diberi kepada soal menang sehingga hal lain yang sama penting diabaikan. Dalam sukan, hanya satu pihak sahaja yang akan menang. Bagaimana dengan yang lain?

Realitinya, kita perlu terima hakikat bahawa peribadi-peribadi yang telah mengalami perubahan dalam pemikiran, sikap dan perangai adalah pemenang juga kerana mereka akan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat.

NOA di Malaysia mengadakan sessi untuk Pemimpin Muda setahun sekali tetapi hanya sedikit sahaja orang-orang yang menyertainya. Ada baiknya, jika pergerakkan memperkenal dan menerapkan semangat, prinsip dan nilai Olympism ini diperluaskan hingga ia menjadi pra-syarat bagi mereka yang mahu aktif dalam sukan, sama ada sebagai peserta mahupun pegawai.

Anda tidak perlu menjadi pakar untuk memerhati bahawa sukan di Malaysia sedang mengalami kemelesetan dan ketika ini tiada “cahaya yang kelihatan di hujung terowong”. Puncanya banyak. Penyelesaiannya juga banyak dan satu dos Olympism mungkin boleh membantu dalam proses pemulihan.

Siapa mahu tolong atlit muda kita

DUA program pembangunan jangka panjang yang membawa kejayaan kepada sukan negara adalah Projek Thomas-Uber-Olmpik (TUO’92) dan Jaya’98.

Selain membawa kejayaan, kedua-dua projek ini telah membuktikan bahawa atlit-atlit yang berpotensi boleh maju dan berjaya jika di bawa keluar daripada lingkungan atau pengawasan yang tidak professional dan diletakkan dalam program yang mempunyai sasaran spesifik.

TUO’92 dilancarkan di hujung tahun 1990an dengan objektifnya untuk mempersiapkan barisan pemain yang akan menyinar dalam pertandingan Piala Thomas dan Uber, serta Sukan Oimpik.

Projek ini berjaya apabila Malaysia berjaya mengakhiri penantian selama 25 tahun untuk merebut semula Piala Thomas dengan menewaskan Indonesia 3-2 pada pertandingan akhir 1992 yang berlangsung di Stadium Negara.

Pada tahun yang sama Razif dan Jailani Sidek memenangi pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Barcelona.

Pada waktu yang sama Kuala Lumpur dipilih sebagai tuanrumah Sukan Komanwel 1998 dan ini membawa kepada pelancaran Projek Jaya’98, satu program yang diharapkan dapat membantu atlit-atlit Malaysia memenangi pingat emas di temasya itu.

Malaysia menang 10 pingat emas di Sukan Komanwel 1998 dan itu merupakan satu kejayaan besar yang sehingga ini belum dapat ditandingi.

Selain dua projek ini, terdapat juga berapa usaha lain termasuk dua oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) – Projek Barcelona (1990-92) dan Piala Dunia Belia (1994-97). Sekalipun tidak berjaya dalam pertandingan yang disasarkan namun kedua projek itu berjaya melahirkan ramai pemain-peman berbakat.

Kesimpulan yang boleh dibuat adalah Projek bersasaran khusus lebih sesuai dan berkesan berbanding program jangka panjang yang mempunyai pelbagai matlamat.

Majlis Sukan Negara (MSN) juga mempunyai beberapa program jangka panjang, termasuk Program Pelapis dan Sukan Teras. Di bawah Pelapis, matlamatnya adalah menyediakan back-up kepada pasukan-pasukan elit.

Sukan Teras, yang pada awalnya ditubuhkan bagi lapan sukan utama, kini merangkumi 19 jenis sukan. Namanya juga telah beubah kepada Unit Sukan Prestasi Negeri. Sasarannya juga sama iaitu menyiapkan atlit-atlit pelapis yang boleh diserap ke program Elit.

MSN dan badan-badan lain, perlu memikirkan projek yang ada sasaran spesifik yang matlamatnya bukan sahaja menyediakan atlit muda untuk Elit, tetapi juga mengeluarkan atlit-atlit muda daripada lingkungan yang menghalang kemajuan mereka dan seterusnya meletakkan sasaran spesifik bagi mereka.

Sebagai contoh, sukan tennis mempunyai barisan pemain muda yang berbakat, terima kasih kepada usaha-usaha para ibubapa masing-masing.

Bintang tennis yang sedang meningkat ketika ini Khoo Er Yang (14 tahun)

dan barisan pemain muda yang lain seperti Pearljit Singh (15), Duzbionjit Singh (13) dan Delizavernne Kaur (11) adalah antara pemain-pemain yang sepatutnya sudah dikenalpasti untuk Projek Olimpik 2016.

Pada Olmpik 2016, pemain-pemain muda ini bakal berpeluang beraksi di Olimpik dan dalam perjalanan ke Olimpik, mereka dijangka menyerlah di Sukan SEA, Asia dan Komanwel, jika acara tennis di pertandingkan.

Mereka ini masih muda tetapi mempunyai ranking yang baik di peringkat nasional dan juga Persekutuan Tenis Asia (ATF). Bagaimanapun, masalah-masalah remeh-temeh dan menyebabkan kemajuan mereka sering terhalang.

Er Yang, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, dianggap pemain muda paling menyerlah ketika ini tetapi dia dikatakan tidak diundang untuk sertai ujian pemilihan ke pasukan belia kebangsaan.

Menurut pegawai, pemain itu tidak mahu tetapi menurut mereka yang rapat dengan keluarganya, dia tidak terima sebarang surat yang memintanya hadir di ujian pemilihan.

Bhoopinder Singh, bapa kepada Pearljit, Duzbionjit dan Delizavernne, adalah seorang yang tidak “tutup mata sebelah” kepada masalah pemilihan yang dianggap tidak adil dan hal-hal lain yang melibatkan anak-anaknya.

Ini membawa kepada anak-anaknya mengalami banyak halangan dalam usaha memajukan karier mereka dalam tennis.

Bhoopinder telah mengemukakan banyak aduan dan laporan yang disertai bukti dan dokumentasi yang sewajarnya. Dia telah juga mengemukakan laporan ke Kementeria Belia dan Sukan, MSN, MOM dan Persuruhjaya Sukan tetapi kesemua badah itu tidak berkemampuan atau tidak berminat untuk menolongnya.

Dalam keadaan seperti ini, Projek yang ada sasaran spesifik sangat penting dan boleh menyelamatkan bakal-bakal bintang sukan negara daripada menjadi mangsa tindakan-tindakan pihak yang tidak matang dan langsung tidak bertanggungjawab.

Jika ada Projek 2016, contohnya, barisan pemain muda ini boleh diserapkan ke dalamnya dan segala urusan latihan dan penyertaan mereka dapat dikendalikan dengan lebih professional. Taraf mereka bukan sekadar pelapis dan Sekolah Sukan, mereka adalah bintang masa depan negara.

Perang proksi di FAM

Perang proksi di koridor Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula pada 7 September 2007. Pada hari tersebut Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad diantik sebagai Setiausaha Agung badan itu dan dengan hampir serta merta beliau berhadapan dengan serangan daripada pelbagai sudut.

Azzuddin dilantik oleh Presiden FAM, Sultan Haji Ahmad Shah, sebagai Setiausaha Agung keempat badan itu. Sebelum jawatan Setiausaha Agung diwujudkan, Sekretariat FAM diketuai oleh Setiusaha Kehormat dan pernah sekali, oleh Setiausaha Eksekutif.

Sebelum 7 September itu, beberapa orang calon disebut sebagai favorit untuk menduduki kerusi panas bolasepak itu, namun Presiden FAM dengan persetujuan majlis tertingginya memilih Azzuddin untuk memperbaikki pentadbiran dan mengetatkan disipilin di secretariat FAM.

Ini mencetuskan satu konflik yang kini dikatakan turut disertai oleh pihak-pihak lain dan ianya semakin menjadi seperti perang proksi yang menyaksikan beberapa tindakan dan keputusan FAM dijadikan isu.

Azzuddin, 63, bukan sahaja perlu memikirkan mengenai mereka yang mahukan jawatannya, tetapi juga dengan orang-orang dari pentadbiran lalu serta pengkritik yang memang kesempatan untuk mengritik FAM. Ini disertai pula dengan kumpulan yang kecewa dengan FAM atas sebab-sebab peribadi dan sebagainya..

Bagaimnapun, sama ada ia konflik di medan perang mahupun di padang bolasepak atau di koridor pusat pentadbiran, Azzuddin, bekas Ketua Pengarah Perisikkan Pertahanan, itu bersedia untuk berjuang hingga memperolehi kemenangan.

FAM ia sebuah persatuan yang unik dan mempunyai perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan persatuan-persatuan sukan yang lain. Ia mempunyai 13 jawatankuasa kecil dan liga-liga yang dijalankan hampir sepanjang tahun.

Sebagai organisasi yang besar, tentunya akan ada msalah yang timbul dari masa ke semasa dan sering ianya d luar kawalan FAM. Contohnya, perubahan jadual dan penundaan perlawanan selalu dijadikan isu namun selalunya ia di sebabkan oleh faktor-faktor luaran.

FAM ada organisasi yang berfungsi bagi pihak ahli-ahli gabungannya dan setiap permintaan perlu diberi perhatian, kecuali ada peraturan yang menyatakan jadual yang sudah ditetapkan tidak boleh dipinda.

Pasukan-pasukan terlibat juga tidak mempunyai stadium sendiri dan selalunya perlawanan terpaksa ditunda jika kerajaan negeri-negeri mahu menggunakan gelanggang berkenaan.

Pernah terjadi, perlawanan di sebuah gelanggang terpaksa di adalah pada sebelah petang selama beberapa bulan kerana lampu limpah mengalami kerosakkan. Birokasi mengakibatkan usaha memperbaikkinya mengambil masa yang lama dan hal in diluar kawalan FAM.

Penyingkiran pasukan Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB), masalah gaji Karl Weigang yang didakwa oleh jurulatih Jerman itu sebagai tertunggak, tindakan-tindakan Jawatankuasa Pengadil dan juga Tatatertib, semuanya dijadikan isu.

Perang proksi ini tidak menghalang Azzuddin daripada merancang masa depan bolasepak bersama jawatankuasa-jawatankuasa terlibat. Sekarang fokusnya adalah dalam pembangunan belia dan perlantikkan Lim Kim Choon sebagai Pengarah Teknikal Belia dilihat sebagai suatu permulaan yang baik.

FAM juga dikatakan sedang merancang berapa program jangka panjang, termasuk menyediakan pasukan yang mantap bagi mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, 2018 dan 2022.

Namun Azzuddin mendapat sokongan kuat daripada Sultan Ahmad Shah, yang menyandang jawatan Presiden badan itu sejak 1984.

Sultan Ahmad Shah telah banyak membawa perubahan kepada badan itu berbanding dengan keadaan ini pra-1984. Baginda telah memainkan peranan dalam membawa penajaan berjta-juta ringgit dan juga terlibat dalam proses memperkenalkan Liga Profesional di Malaysia.

Dalam senario bolasepak semasa, FAM memerlukan kepimpinan Sultan Haji Ahmad Shah dan Azzuddin, yang bersara daripada Tentera pada 16 Mei 2001, masih menjadi pilihan terbaik sebagai “ketua eksekutif” di secretariat FAM buat masa ini.