Dulu orang sering memperkatakan tentang betapa hebatnya peningkatan bolasepak di Korea Selatan, negara yang pernah dianggap sebagai sama taraf dengan Malaysia dalam sukan di masa lalu.
Dan, sementara mereka masih bercakap-cakap mengenai hal itu, Korea terus maju dan muncul sebagai kuasa baru Asia dan dunia dalam hoki dan badminton disamping terus melahirkan jaguh-jaguh olahraga, jimnastik, taekwondo, bowling dan lumba basikal.
Sekarang mereka sedang menunggu untuk mengambil alih sebagai kuasa baru dalam squash, sukan yang hingga saat ini dikatakan dikuasai oleh barisan pemain Malaysia, yang diketuai oleh pemain nombor satu dunia, Nicol Ann David, dan Mesir.
Korea yang dianggap pendatang baru dalam squash, dengan hanya menggunakan khidmat jurulatih-jurulatih tempatan sahaja, kini mulai mencapai kejayaan luar dugaan di peringkat antarabangsa. Pada Kejohanan Belia Asia di Chennai, India pada 16-13 Januari tahun ini, buat pertama kalinya Korea mara ke perlawanan akhir, tetapi tewas kepada Malaysia.
Pada perlawanan akhir itu, Malaysia menewaskan Korea 2-0. Low Wee Wern menewaskan Sun-Misong 11-8, 11-2, 11-2 dan Low Wee Nee mengalahkan Ji-Hyung Le 11-4, 11-4, 11-7. Mungkinkah Sun-Misong dan Ji-Hyung Lee bakal menjadi bintang-bintang squash baru Asia?
Malaysia yang lebih lama dalam squash, sampai sekarang bergantung kepada jurulatih luar negara. Hakikat in sahaja cukup sebagai bukti bahawa sistem sukan di negara itu berkesan dan sekarang ini hasilnya mulai kelihatan di peringkat antarabangsa.
Dalam bolasepak, Korea terus meninggalkan Malaysia dan kebanyakan negara Asia jauh di belakang. Pada 1983, ia menjadi negara Asia yang pertama untuk memperkenalkan liga professional yang kemudiannya diberi nama sebagai Liga Korea dalam tahun 1994.
Di tahun yang sama Korea layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Los Angeles. Tahun lalu Korea memperkenalkan Liga-U untuk Universiti dan Pusat-pusat pengajian tinggi. Perlawanan Liga-U diadakan setiap Khamis dan setakat ini ia disertai oleh 10 pasukan.
Hujung tahun lalu, bolasepak di Korea mencatat satu kemajuan besar apabila Persatuan Bolasepak Korea (KFA) dan Kementerian Pendidikan negara itu menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyeleraskan pertandingan-pertandingan peringkat umur.
Tanpa MoU itu, sama seperti di kebanyakan negara, kedua-dua pihak akan mempunyai pertandingan bawah umur yang berlainan. Contohnya persatuan bolasepak akan meganjur bawah umur 13, 15 dan 17 manakala sekolah-sekolah pula bawah 12, 18 dan 21.
KFA dan pihak sekolah-sekolah sedar bahawa ini adalah suatu pembaziran masa, tenaga dan wang. Dengan sistem baru yang dilaksanakan tahun ini, KFA akan memasukkan pertandingan sekolah d dalam kalendarnya dan menyediakan kepakaran teknikal.
Ini sudah tentu akan membawa Korea mempunyai asas yang mantap dan seterusnya semakin maju dan hebat pada masa akan datang.
Sukan di Korea boleh maju sedemikian kerana komitmen dan passion mereka yang terlibat untuk belajar dari orang lain, dengar daripada pakar-pakar dan berusaha bersungguh-sungguh selain mempunyai mentality sedia menerima perubahan.
Pada tahun 1980an, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu, Datuk Mazlan Ahmad pernah mencadangkan supaya persatuan-persatuan sukan dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif badan-badan korporat.
Ia merupakan satu konsep yang ada persamaan dengan di Korea. Namun, penerimaa konsep ini bererti ada pihak yang harus berkorban dan berundur. Malangnya cadangan ini tida mendapat sambutan kerana masing-masing mahu berpegang kepada “jawatan, kuasa dan pengaruhnya”.
Semua pihak yang terlibat dalam sukan di Malaysia perlu bersedia untuk melihat perubahan dan pembaharuan, barulah boleh berlaku sports revival di negara kita. Kalau Korea boleh, pastinya Malaysia pun boleh cuba.
No comments:
Post a Comment