Friday, February 5, 2010

Good news for Schools

The Government plans to start an Teachers Training Institute for Sports. Deputy Prime Minister, Tan Sri Muhyiddin Yassin wo announced this, also added that the Education Ministry as allocated a budget of RM89 million for schools sports activities and programmes. Here is the report in Utusan Malaysia today.

Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mewujudkan sebuah Institut Pendidikan Guru Malaysia Sukan (IPGM Sukan) untuk melahirkan guru dan jurulatih sukan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan diwujudkan di IPGM Raja Melewar, Seremban.

“Empat lagi pusat kecemerlangan sukan di kampus IPGM sedia ada di Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah pula akan diwujudkan sebagai feeder kepada IPGM Raja Melewar.

“Seramai 320 calon jurulatih akan menjalani latihan merangkumi lapan bidang sukan bermula pertengahan tahun 2011,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity-Iskandar di Nusajaya, Khamis.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Iskandar Investment Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd., Arlida Ariff.

Kompleks sukan bernilai RM95.32 juta di tapak seluas 8.6 hektar itu mempunyai kapasiti tempat duduk 14,000 orang.

Ia dilengkapi trek balapan, padang ragbi, kolam renang, gelanggang badminton, bola keranjang, bola tampar dan futsal serta skuasy bakal menjadi salah satu mercu tanda penting di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia apabila siap 2011.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan berharap jurulatih sukan tersebut akan dapat mengembalikan kecemerlangan sukan sebagai aspek penting dalam kokurikulum sekolah.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dan menyedari bahawa aspek sukan di sekolah sangat penting untuk sahsiah pelajar.

“Oleh itu, Kementerian Pelajaran bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum sahaja.

“Ini akan memastikan semua 24 bidang sukan di bawah kalendar Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) akan dapat terus dipertandingkan bagi semua peringkat umur meskipun keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.

‘‘Antara 24 bidang sukan tersebut termasuk boling, skuasy, memanah, ping pong, ragbi, kriket, sukan layar, bola lisut, bola baling, merentas desa dan catur,” katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, beliau telah mengarahkan supaya sebelas acara sukan yang dipotong daripada kalendar MSSM sebelum ini dimasukkan semula bagi membolehkan ia dipertandingkan.

Beliau berkata, pada mulanya acara itu dipotong daripada dijalankan kerana jumlah peruntukan kepada Kementerian Pelajaran agak berkurangan ekoran keadaan kegawatan ekonomi.

Muhyiddin berkata, bagi jangka sederhana iaitu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), tumpuan akan diberikan untuk membangunkan infrastruktur sukan di sekolah seluruh negara.

“Saya sedar sejak beberapa tahun ini banyak sekolah tidak dilengkapi dengan padang dan kalau ada pun padang, ia tidak dinaik taraf dan infrastruktur yang sepatutnya tidak lengkap.

“Dalam RMK-10 kita belum tetapkan jumlah untuk dijadikan belanjawan, tetapi pastinya jauh lebih besar,” katanya.

Beliau juga mahu setiap daripada kira-kira 5.6 juta pelajar di 10,000 sekolah di negara ini mengambil sekurang-kurangnya satu acara sukan.

No comments:

Post a Comment