Wednesday, August 25, 2010

Harimau Muda A ke Slovakia lagi

Pasukan Harimau Muda A yang dikendalikan oleh Ong Kim Swee akan menimba ilmu di Slovakia sekali lagi bagi mempersiapkan barisan muda negara ke arah mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011.

Keputusan dibuat oleh Presiden FAM, KDYMM Tuanku Sultan Ahmad Shah, selepas mengadakan perbincangan dengan Kim Swee pada 24 Ogos dan setelah mengkaji tiga pilihan yang ada.

Seramai 19 pemain dan empat pegawai akan berlepas ke Slovakia pada 1 September ini. Pegawai tersebut ialah ketua jurulatih Kim Swee, penolong jurulatih Hassan Sazali Mohd Waras, jurulatih penjaga gol Yong Wai Hwang dan ahli fisioterapi, Mohd Nasrul Ahmad Tajuddin.

Enam pemain yang kini menjalani latihan bersama skuad senior akan menyertai Harimau Muda A selepas menamatkan perlawanan persahabatan dengan Oman di Doha pada 3 September ini.


Enam pemain itu ialah K. Gurusamy, Mohd Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Fadhli Shas.

FAM percaya langkah menghantar pasukan ini ke Slovakia adalah tepat, berlandaskan beberapa aspek:

# Pasukan Harimau Muda A akan didedahkan kepada 12 perlawanan menentang lawan Divisyen Satu Liga Slovak yang bersifat kompetitif.

# Ia tidak termasuk empat perlawanan persahabatan dengan empat pasukan – Bawah 21 Austria, Poland, Republik Czech dan Hungary – dalam tempoh tiga bulan yang juga satu tempoh singkat untuk mengatur mana-mana perlawanan persahabatan bertaraf tinggi.

# Hakikat Slovakia sebuah lokasi yang lazim buat pemain.

#FAM tidak perlu dibebani isu jadual dan siapa pasukan lawan disebabkan struktur liga dan jadual yang teratur di Slovakia.

Berasaskan perkara-perkara tersebut, FAM memutuskan untuk menghantar Kim Swee dan anak buahnya ke Slovakia yang juga pilihan pertama buat pasukan itu meningkatkan prestasi.

Pilihan kedua ialah menjalani kem latihan di Cardiff City, Wales, selama enam minggu berasaskan tawaran pihak pengurusan Cardiff manakala pilihan ketiga meneruskan latihan dalam negeri sebelum ke luar negara untuk latihan perlawanan persahabatan dari Ogos hingga Disember 2010.

Keputusan juga harus dibuat dengan segera disebabkan pasukan negara akan mempertahankan pingat emas tidak sampai 15 bulan dari sekarang.

Dalam pertemuan itu, Sultan Ahmad Shah juga mendengar taklimat jurulatih pasukan kebangsaan, K. Rajagobal mengenai persiapan pasukannya menjelang Sukan Asia di Guangzhou dan Piala Suzuki.

Skuad Harimau Muda:
Penjaga gol: Muhammad Zamir Selamat, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mohd Farhan Abu Bakar.
Pertahanan:Mohd Muslim Ahmad, Mohd Affize Faisal Mamat, Mahali Jasuli, Muhammad Faizal Mohd, Mohd Fadhli Mohd Shas, Muhamad Nazri Ahmad, Nicholas Wee Shen Ming, Amer Saidin, Mohd Fandi Othman.
Pemain tengah: Gary Steven Robbat, Gurusamy Govandar Kandasamy,Abdul Shukor Jusoh, Muhammad Rafiuddin Roddin, Sivanesan Shanmugam, Irfan Fazail, Wan Zack Haikal Wan Noor, Saarvindran Devandran, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
Penyerang: Izzaq Faris Ramlan, Thamil Arasu Ambumanee, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, Syahrul Azwari Ibrahim.

No comments:

Post a Comment