Pengasas Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) Daud Abu Kassim (gambar) menegaskan bahawa Haji Jaafar Sidek, yang mempengerusikan mesyuarat agung 25 Julai lalu, bertanggungjawab sepenuhnya jika Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM) mendapati dokumen-dokumen yang dikemukakan telah diselewengkan.
"Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali itu sudah selesai tetapi tidak bererti ianya sah, apatah lagi ia melanggar peraturan-peraturan perlembagaan yang berkuatkuasa. Saudara bertanggungjawab jika dokumen yang dikemukakan kepada PPSM diselewengkan," kata Daud dalam suratnya kepada Haji Jaafar Sidek, bertarikh 20 Ogos.
Daud menyifatkan status PBKL kini seperti "gantung tidak bertali dan seterusnya mencabar Haji Jaafar kerana tidak mempersoalkan kenapa Pemangku Setiausaha, Haji Fazin Saad mengeluarkan notis mesyuarat agung bertarikh 10 Julai 2009 tanpa mendapat persetujuan majlis terlebih dahulu.
"Selain itu, saya tetap mencabar saudara (Haji Jaafar) berlandaskan Fasal 7.1, 7.2, Fasal 8, Fasal 14.2 dan 14.3 peruntukkan perlembagaan," tegas Daud yang mendakwa Haji Jaafar tidak mempunyai komitmen yang baik terhadap PBKL selama ini.
Daud seterusnya membidas kumpulan yang telah memutarbelit dan memanipulasi perlembagaan bagi kepentingan diri semata-mata.
"Saya difahamkan mengenai usaha-usaha pihak saudara dan beberapa orang lagi yang mempengaruhi pegawai-pegawai kanan DBKL untuk menerima tawaran jawatan tetapi, tawaran itu sendiri melanggar perlembagaan PBKL dari sudut legalitinya.
"Ini adalah undang-undang Akta Pembangunan Sukan 1997 yang harus dipatuhi, bukan dipolitikkan," kata beliau lagi.
Menurut Daud, politikking dalam PBKL amat serius hingga seorang pegawai lama, Adnan Abdullah yang hadir pada mesyuarat agung tidak dipedulikan atau dicalonkan sedangkan tujuh orang yang tidak hadir diberi keistimewaan.
"Ini memalukan seorang kawan yang telah sekian lama berjuang bersama PBKL."
Sementara itu, Daud menasihat Haji Jaafar, selaku pesara DBKL, untuk memastikan DBKL tidak membatalkan Perjanjian Mengurus dan Mentadbir Velodrom Kuala Lumpur, setelah ambil kira sejarah bagaimana DBKL tauliahkan PBKL untuk mengurus dan mentadbir gelanggang itu.
"DBKL telahpun menyatakan bahawa pergolakkan yang berlaku ini sedang dalam perhatian. Melihat segala hal ini, saya selaku pengasas sejak 1979, labelkan saudara (Haji Jaafar), Haji Fazin Saad. Firdaus Arshad, Musairi Musa, Umar Ibrahim dan Ramlan Mohd Said sebagai perosak PBKL," tambah Daud lagi.
Dalam perkembangan lain, difahamkan pihak PPSM sedang menunggu dokumen-dokumen Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) sebelum memutuskan kesahihan mesyuarat agung tiga tahun sekali PBKL.
Saya telah mengenali Daud Abu Kassim sejak akhir tahun 1970-an lagi.
ReplyDeleteMacam-macam cerita saya dan saudara-saudara sekelian dengar mengenainya.
Apa pun kita perlu mengalungkan kata-kata tahniah kepadanya kerana membawa revolusi baru dalam sukan basikal sejak Persatuan Lumba Basikal Wilayah Persekutuan diwujudkan.
Ramai pelumba dari Selangor dan beberapa lagi peserta negeri lain diambil untuk berlumba di bawah Wilayah Persekutuan sambil diberikan ganjaran baik dari bentuk wang dan pekerjaan.
Dulu ramai pelumba baik di peringkat kebangsaan daif sekali; nak repair basikal pun; buat sendiri manakala khidmat mekanik jarang diperoleh.
Pendedahan peringkat antarabangsa diusahakan oleh Daud menerusi pelbagai sokongan termasuk syarikatnya, Norda Enterprise dan dua firma diwujudkan dengan ekuitinya turut diberikan kepada PLBWP, Jaguh Angkut Berat dan Bumi Kekal Bekal. Dia berkawan baik dengan beberapa negara seperti Indonesia dan Thailand. Di negara Siam, keakraban Daud dengan setiausaha TACA ketika itu, Sree Thairat dan presidennya, Thorsak Yomnak memastikan Malaysia sering menggunakan velodrom Hua Mak. Itulah peluang berlatih di velodrom sebelum Velodrom Rakyat diwujudkan.
Tiga puluh tahun selepas itu, setelah Daud sudah dimamah usia, peralihan kuasa berlaku tetapi saya terlalu kecewa... kenapa tak bincang dengan dia dahulu sebelum dipanggil mesyuarat agung dengan tergesa-gesa.
Kalau ia pun Daud yang dianggap sudah tidak berguna lagi, sekurang-kurangnya beritahu dia agar dia tidak tersentak apabila peralihan kuasa dibuat dengan apa cara sekalipun.
Mutalib Mydin, bekas pelumba Pulau Pinang di bawah setiausaha paling lama dalam sejarah basikal negara, Adris Ahiari, telah diambil Daud untuk mencuba nasib di KL; diikuti oleh adiknya, (Datuk) Malik Mydin yang tidak ada bakat langsung.
Komisar antarabangsa dan bekas pelumba negara, Fazin Saad yang dipanggil Daud untuk menjadi pemangku setiausaha PBKL tidak lama dulu juga telah menelan Daud hidup-hidup apabila mengepalai pakatan untuk menerajang bapa basikal KL ini.
Bekas pelumba kebangsaan yang kini menagung-agungkan Malik Mydin sebagai presiden PBKL tidak lain Haris Fadzillah Osman dan Umar Ibrahim.
Daud melakukan apa yang terbaik untuk mereka sewaktu berlumba dulu tetapi usaha itu dilupakan.
Walaupun Daud sering dianggap memiliki perangai gila tetapi dia lebih mulia dan tanggungjawabnya untuk basikal tidak pernah dipersoalkan.
Daud saya kira jauh lebih hebat daripada Malik Mydin. Kita sama-sama tengok apa Malik boleh janjikan. Dia sendiri pun tiada projek untuk digerakkan.