Pengasas dan Ahli Seumur Hidup Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PLBKL) Daud Abu Kassim (gambar) berpendapat persatuan itu kini dalam keadaan "hancur" akibat tindak tanduk bekas pemangku setiausaha Haji Fazin Haji Saad dan segelintir pegawai lain.
Sambil menegaskan bahawa Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali yang diadakan 25 Julai lalu adalah tidak sah, Daud turut mendedahkan bahawa perlantikkan Fazin sebagai pemangku setiausaha adalah bersifat sementara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2009.
"Sesungguhnya majlis bersetuju supaya saudara memangku jawatan itu buat sementara waktu tetapi itu bukan bermaksud saudara boleh bertindak sesuka hati dengan mewujudkan politik dalaman serta komplot yang sangat memalukan.
"Sayalah yang meberi ruang dan peluang untuk saudara menabur bakti kepada PBKL, tetapi tindakan saudara ibarat kacang lupakan kulitnya...melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas dia mengigit demi kepentingan diri," kata Daud dalam suratnya kepada Fazin.
Sebelum in Daud hanya menghantar surat kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM) untuk menarik perhatian bahawa langkah mengadakan mesyuarat agung itu melanggar prosedur dan bertentangan dengan perlembagaan PBKL.
Difahamkan, pihak PPSM sedang menyiasat isu ini dan satu pengumuman mengenai kesahihan mesyuarat itu dijangka dibuat tidak lama lagi.
Daud, yang juga Timbalan Presiden PBKL mendakwa, semua ini dilakukan atas kepentingan diri hingga sekalipun mesyuarat agung itu belum diputuskan sama ada sah atau sebaliknya, Fazin sudahpun sebagai Setiausaha Eksekutif, jawatan bergaji.
"Tidak pernah ada lantikkan seperti itu sejak PBKL ditubuhkan dan ia juga tidak termaktub dalam perlembagaan," tambah Daud yang berjuang untuk PBKL sejak 1979.
"Hakikatnya, tempoh khidmat sebagai pemangku sudah selesai. Kemudian pula mengeluarkan notis mesyuarat agung tiga tahun sekali bertarikh 10 Julai tanpa persetujuan mesyuarat majlis, semuanya adalah bukti saudara telah memporak-perandakan keadaan.
"Malah, di mesyuarat majlis 13 Julai, korum tidak cukup. Pada pandangan saya PBKL sudah hancur, khususnya perpaduan ahli majlis yang sekarang pecah dua - satu yang 'dipilih' pada mesyuarat agung itu seperti Haji Jaafar Sidek, Firdaus Arshad, Musairi Musa, Ramlan Mohd Said dan Umar Ibrahim dan satu kumpulan lain mereka yang tidak dipilih seperti Adnan Abdullah, Haji Badri Haji Mukri, Nor Effendy Rosli, Rosman Rashid dan Muhd Awal Aziz," tambah Daud yang tidak hadir pada mesyuarat agung berkenaan.
Presiden PBKL, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim pula meletakkan jawatan apabila dimaklumkan bahawa notis mesyuarat agung dikeluarkan tanpa persetujuan majlis dan juga pengetahuannya.
Beliau turut mengritik budaya menjemput ramai kawan-kawan untuk menghadiri mesyuarat agung sebagai ahli baru adalah amalan kotor dan bertentangan peraturan perlembagaan PBKL yang menetapkan bahawa yuran tahunan hendaklah dibayar tidak lewat dari 1 Februari tiap-tiap tahun.
"Pesuruhjaya Sukan boleh menggantung atau membatal pendaftaran PBKL jika didapati persatuan telah melanggar peruntukkan perlembagaan sendiri. Semua ini menjejaskan imej PBKL," tegas Daud lagi.
Pada mesyuarat agung tiga tahun sekali pada 25 Julai lalu, bekas pelumba Datuk Abdul Malik Mydin dipilih sebagai Presiden baru.
No comments:
Post a Comment