Sunday, May 2, 2010

Kumpulan baru dalam MCA, pertukaran presiden dalam perancangan

TAHNIAH kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) berikutan pelantikan baru terhadap kekosongan jawatan majlis eksekutifnya pada 1 Mei 2010. 

Kini jawatan timbalan presiden diisi oleh bekas Presiden Persatuan Kriket Kuala Lumpur, Wilfred Abraham. Dua kekosongan jawatan naib pula dipertanggungjawabkan kepada Asgari Mohd. Fuad Stephens; adik kepada pemegang jawatan terdahulu yang meninggal dunia tahun lepas, Affendi. Satu lagi jawatan itu  kepada Setiausaha Kriket Kuala Lumpur, Devindran Ramanathan. Bagi kekosongan ahli majlis eksekutif, V. Vijayalingam, Setiausaha Kriket Sarawak mengisinya.

Adalah menjadi harapan agar MCA bergerak lancar selepas ini apabila bermacam-macam pengerusi jawatankuasa kecil diwujudkan. Vijayalingam mungkin diberi tugas mengetuai jawatankuasa pembangunan remaja menggantikan Sham Jalil yang ingin berehat dengan hanya memegang jawatan anggota majlis eksekutif sahaja. Sham yang juga bekas pembuka pukulan kebangsaan sebelum ini telah menjalankan tugas dengan baik sejak lebih tiga tahun tetapi ada segelintir pihak yang 'berkepentingan' menganggap dia terlalu perkauman dalam pemilihan pemain.

Apa nak buat... terlalu ramai pemain yang dilahirkan merupakan kumpulan daripada program Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang memiliki puluhan pusat pembangunan bawah 12 tahun sehinggalah ke skuad pembangunan dan pusat prestasi tinggi. Tanpa Kriket Melayu jangan nak harap - buat masa ini - skuad peringkat usia Malaysia dapat menonjol  lebih-lebih lagi barisan utama negara pun rata-rata sudah dikuasai oleh kumpulan daripada program Kriket Melayu.

Tanpa berlengah, walaupun MCA akan mengadakan mesyuarat agung pemilihan lagi awal tahun 2011, adalah diharapkan empat muka baru itu dapat berbuat sesuatu agar pelbagai cemuhan sebelum ini yang dikenakan ke atas presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja'afar tidak berlaku lagi. Janganlah menconteng arang ke muka sendiri. Setiausahanya, Sivanandan Chinnadurai yang dikatakan bijak berkata-kata diyakini dapat bekerjasama dengan kumpulan baru ini walaupun ada pihak mengatakan bekas naib presidennya, Mahinda Valipuram adalah 'watak utama' penyenaraian keempat-empatnya dalam majlis eksekutif MCA itu.

Janganlah pula kerana ingin mengekalkan jawatan, Sivanandan akan menjadi mangsa 'kumpulan' ini sekali gus akan bergelar sebagai 'pak turut' sahaja.

Tunku Imran buat masa ini mungkin lega kerana atas kertas empat 'orang baru' itu tidak akan mencetus masalah kepadanya. Tetapi awal tahun depan, apakah anak raja ini sanggup tidak bertanding mengekalkan jawatannya? Apabila dicabar oleh bekas wartawan, M. Hanafiah A. Samad pada pemilihan awal tahun 2009, Tunku Imran berjanji musim berkenaan adalah yang  terakhir baginya jika dipilih semula. Dengan penguasaan majlis MCA oleh orang-orang Mahinda sekarang, apakah Tunku Imran mungkin menukar pendirian? Tetapi Mahinda pasti inginkan bekas timbalan presiden, P. Krishnasamy kembali ke pangkuan MCA kerana mereka sependapat dan ingin menjadikan persatuan itu bermotifkan perniagaan. Krishnasamy diyakini dapat mengembangkan badan kriket itu dengan bermodalkan banyak wang. 

Inilah dikatakan muslihatnya. Takkanlah Wilfred, seorang pakar undang-undang ingin disingkirkan. Tentu Krishnasamy yang dikhabarkan mendapat sokongan kuat Majlis Kriket Asia (ACC) akan kembali dan jawatan PRESIDEN sudah pasti kedudukan tertinggi yang merupakan perancangan utama kumpulan baru ini.

Jadi, bagi Tunku Imran, kedudukannya untuk bertahan lama tidak lagi selamat. Lebih baik anak Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman mengundurkan diri awal tahun depan daripada menerima penyingkiran. Tiada kawan baginya lagi. Perancangan besar sudah pun dibuat. Presiden Majlis Kriket Johor (JCC), Datuk Dr. Harjit Singh yang 'ditawarkan' jawatan timbalan presiden MCA baru-baru ini menerima malu besar apabila dipermainkan pada saat akhir. Sivanandan yang dikatakan mahukannya tetapi Dr. Harjit dapat menghidu permainan besar sudah digerakkan oleh kumpulan lain.

Jadi bersedialah, kebangkitan SUKAN atau perancangan untuk pemilihan tahun depan diutamakan?

Nampaknya, Kriket Melayu sahaja terpaksa terus mengutamakan pembangunan.

1 comment:

  1. Tunku Imran, Good bye to cricket, and at the rate you are going , if you do not control that Sec Gen of yours in OCM, it will also be another bye bye birdie to you.
    Look now it is already a sad state of affairs and people are talking who is running OCM, the Board or the Sec Gen.
    It does not agur well for you. Please act quick and win back your dignity.

    ReplyDelete