PUKULAN SISI oleh TL Ang
PADA 8 Mac, orang No. 2 Persatuan Kriket Malaysia, Datuk Dr. Amarjit Singh tergesa-gesa meletakkan jawatan. Dia mengumumkan pemberhentian ini dengan sokongan rakan karibnya, Datuk Dr. Harjit Singh; Presiden Majlis Kriket Johor yang juga bekas timbalan presiden pertubuhan berkenaan.
Persatuan Kriket Malaysia yang juga dikenali dengan singkatannya, MCA memang dalam keadaan tenat sekarang. Daripada sepuluh anggota majlis eksekutifnya, kini sudah tinggal enam selepas Amarjit keluar. Paling awal mereka kehilangan naib presidennya, Affendi Fuad Stephens yang meninggal dunia, diikuti Mahinda Valipuram (naib) dan Gopal Sreenivasan (ahli majlis biasa). Mesyuarat agung pemilihan akan datang MCA dijangka awal tahun depan.
Peliknya, Presiden MCA, Tunku Imran Tuanku Ja'afar (gambar) enggan melantik pengganti seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan persatuan. Apakah perancangannya? Kini tinggal seorang presiden, setiausaha, bendahari dan tiga ahli majlis biasa.Sungguh terhad! Apakah yang tinggal semua orang berkemampuan atau sebahagiannya cakap tak serupa bikin.
Tunku Imran pula dikatakan telah memanggil Amarjit dan minta dia pertimbangkan. Nyata Tunku Imran tidak boleh bersabar lagi kerana kehilangan tiga orang kanannya.
Kini hanya tinggal setiausaha, Sivanandan Chinnadurai. Tetapi sejauh mana keakraban kedua-duanya ?
Amarjit dikatakan tidak boleh tahan lagi. Persatuan banyak berhutang manakala pandangannya dalam banyak segi termasuk pemilihan pemain tidak dipertimbangkan oleh anggota majlis.
Sebagai bekas kapten kebangsaan, dia amat kecewa. Dia juga meninggalkan MCA sewaktu diberi tugas mencari dana menerusi acara golf.
Kriket sudah berkembang dan lebih maju berbanding dulu. Jumlah pemain semakin ramai, aksi semakin hebat di arena antarabangsa dan MCA amat berterima kasih kepada Persatuan Kriket Melayu Malaysia kerana program pembangunan yang diikendalikan tanpa membebankan sesiapa.
Kriket Melayu membangunkan kriket untuk dibekalkan kepada MCA.
Jika masalah kepegawai dalam MCA berlarutan, apa akan jadi kemudian? Tunku Imran dijangka berbincang sama ada akan menggantikan empat jawatan kosong dengan mereka yang benar-benar 'berjuang' untuk kriket atau menghadapi masalah membuka pencalonan dalam mesyuarat agung luar biasa khusus untuk memilih senarai baru.
Kini jika pilihan kedua diambil kira, ramai akan berkempen lagi dan ada kemungkinan mereka yang tidak 'bertauliah' dalam kriket akan menguasai kepemimpinan. Tunku Imran akan pening lagi dan akan menjejaskan imejnya.
No comments:
Post a Comment