Thursday, October 15, 2009

Taktik kotor musnahkan keharmonian PBKL

Ahli Seumur Hidup dan Pengasas Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) sejak 1979, Daud Abu Kassim (gambar) kesal dengan taktik kotor oleh "kumpulan kecewa" yang memusnahkan keharmonian dan imej persatuan berkenaan.

Menurut Daud, kumpulan kecewa itu bertindak demikian sebagai membalas dendam terhadap keputusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia bahawa Mesyuarat Agung 25 Julai 2009 lalu adalah tidak sah dan pemilihan yang diadakan terbatal sama sekali.

"Saya ingin menyatakan kepada kumpulan kecewa bahawa ini adalah soal peraturan Perlembagaan serta aspek rasional undang-undangnya, dan setiap pihak harus menerimanya dan bukannya menunjukkan emosi akibat kegaggalan agenda peribadi masing-masing," tegas Daud, yang memegang jawatan Timbalan Presiden PBKL sejak 1979.

Daud juga mendedahkan mengenai kandungan surat Haji Badri Haji Mukri (Pemangku Bendahari Kehormat) kepada Haji Fazin Saad (Pemangku Setiausaha Kehormat Jan-Jun 2009) yang mempersoalkan kenapa isu RM17,000 yang berkaitan dengan penganjuran PBKL pada program 50 Jam Tanpa Henti Kecergasan Merdeka 2007.

"Dana sudah diperuntukkan tetapi entah ke mana pergi wang itu. Jika persatuan diberi tugas menganjurkannya maka PBKL berhak menerimanya. Apakah wang itu disalurkan melalui sistem bisnes "Ali Baba" bagi tujuan pengeluaran pembayarannya.

"Saya kira kita perlu memberi waktu kepada pihak berkenaan untuk ceritakan kepada SPRM mengenai prosedur yang diguna pakai dalam hal ini. Siasatan tersebut akan membuatkan PBKL mengalami kesulitan mengadakan Mesyuarat Agung nanti," tambah Daud.

Daud juga menjelaskan bahawa tiada peruntukkan khas dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Tabung PBKL untuk mengurus dan mentadbir Velodrom Kuala Lumpur. DBKL hanya membayar mengikut tuntutan yang dikemukakan dan jumlah yang dituntut dalam bentuk gaji dan pembayaran-pembayaran lain. tidak boleh melebihi RM7,000 sebulan.

Sementara itu, Daud juga mendedahkan satu isu terbaru dimana Haji Fazin mengeluarkan Notis Mesyuarat Ahli Majlis ke 5/ 2009 bertarikh 12 Oktober 2009, selaku Pemangku Setiausaha Kehormat sedangkan jawatannya hanya bagi tempoh Jan-Jun 2009.

"Selain menuduh isu ini berpunca akibat kenyataan akhbar saya di New Sunday Times (sebenarnya Utusan Malaysia) pada 26 Julai lalu, surat itu menyatakan bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPSM) terpaksa campur tangan dengan memanggil Ahli Majlis sesi 2006-2009 mengadakan mesyuarat pada 19 Oktober.

"Amalan memfitnah dan pertuduhan palsu masih berleluasa dikalangan kumpulan kecewa hingga sanggup bertindak agresif dan terdesak untuk mendapatkan sokongan.

"PBKL adalah satu-satunya pertubuhan sukarela yang berkonsepkan kekluargaan dalam Sukan. Jika ada salah faham atau berlainan pendapat, itu biasalah," kata Daud lagi.

Daud seterusnya menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya hentikan taktik kotor ini kerana ianya merosakkan imej Sukan Berbasikal Wilayah Persekutuan dan keharmonian PBKL khususnya.

No comments:

Post a Comment