Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) Daud Abu Kassim (gambar) mendedahkan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang sedang berusaha untuk sabotaj dan mengaggalkan usaha persatuan itu mengadakan Mesyuarat Agung seperti yang diarahkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf telah memutuskan bahawa Mesyuarat Agung PBKL yang diadakan pada 25 Julai lalu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan dan seterusnya pemilihan Ahli Majlis bagi sesi 2009-2011 adalah terbatal.
Dengan ini, Majlis PBKL yang sedia ada akan bertanggungjawab untuk mengelolakan PBKL dan mengadakan mesyuarat majlis dan dan seterusnya pemilihan baru yang menurut perlembagaan persatuan itu.
"Ahli Majlis, Nor Effendy Rosli diugut supaya ikut kumpulan yang membuat kacau ini dan jika tidak, mereka mahu melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabit cek-cek yang dikeluarkan atas namanya.
"Kumpulan itu mendakwa hal itu melanggar peraturan perlembagaan Fasal 21.4 yang menyebut bahawa pembelanjaan yang lebih daripada RM 10,000 bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa kelulusan Majlis.
"Bagaimanapun, pembelanjaan ini tidak melibatkan sesen pun dari Tabung PBKL, sebaliknya ia adalah sumbangan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi jumlah tuntutan Nor Effendy perbelanjaan pasukan berbasikal Wilayah Persekutuan di SUKMA 2008 di Terengganu," kata Daud, yang memegang jawatan Timbalan Presiden sejak 1979.
"Cek itu adalah "transit". Ia adalah jumlah yang dituntut Nor Effendy dan merupakan sumbangan MSWP. Saya nasihatkan kumpulan berkenaan supaya jangan terlalu asyik menghakimi kesilapan dan kelemahan orang lain hingga terlupa risiko dan implikasinya.
"Apa pun terjadi, ianya tidak melemahkan semangat saya selaku orang lama penuh berpengalaman dalam politiking sukan berbasikal bah kata orang' alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," tambah Daud, pengasas dan Ahli Seumur Hidup PBKL.
Menrut Daud, kini yang tersurat sudah pun terbongkar cuma yang tersirat akan ditentukan apabila usaha melaksanakan garis panduan yang diberi oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia, untuk tujuan mengadakan semula Mesyuarat Agung Kali ke 20 selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Daud juga mendedahkan, Laporang Kewangan 2006-2008 yang dibentangkan semasa Mesyuarat Agung 25 Julai lalu adalah penyata yang palsu. "Malah tanda tangan Haji Badri Haji Mukri (Pemangku Bendahari Kehormat) juga dipalsukan," dakwa Daud.
Daud seterusnya meminta Ahli-ahli Majlis supaya memikirkan cara terbaik demi kemajuan Sukan Berbasikal Wilayah Persekutuan khusus imej PBKL, amnya.
No comments:
Post a Comment