Wednesday, September 16, 2009

Daud: Sudah hantar MYKB?

"Hari ini genap 53 hari selepas Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali diadakan dan saya terpanggil untuk mengetahui sejauh mana dokumen-dokumen Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM) sudah disempurnakan dalam 30 hari, seperti yang disyaratkan"

Begitulah pertanyaan Pengasas Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) Daud Abu Kassim kepada kumpulan yang mengadakan mesyuarat itu pada 25 Julai lalu.

"Saya terpanggil untuk mengetahuinya kerana Pekeliling Pesuruhjaya Sukan Bil 1/2008 menyatakan pihak Pesuruhjaya Sukan boleh menggantung atau membatal pendaftaran badan sukan, jika Pesuruhjaya berpuas hati bahawa badan itu gagal berbuat demikian selaras peruntukkan dibawah Seksyen 20 (2) Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Hari ini, 16hb September genap 53 hari," kata Daud, yang merupakan Timbalan Presiden PBKL dari 1979 hingga Julai 2009. Beliau menanyakan hal ini dalam surat kepada Haji Fazin Haji Saad (Pemangku Setiausaha Kehormat Januari-Jun 2009) dan Firdaus Haji Arshad (Ahli Majlis 2005-Julai 2009).

Daud yang benar-benar kecewa dengan seluruh peristiwa ini, seterusnya mengingatkan kedua-dua pegawai itu bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengemukakan MYKB berdasarkan fakta-fakta telus dari aspek legalitinya.

Daud seterusnya mendakwa masalah yang melanda PBKL ini berpunca daripada pihak-pihak yang mempuyai agenda peribadi serta dendam yang tersirat selain tekanan yang menyebabkan ketidaktentuan semasa penganjuran Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) pada Jun 2009 lalu.

"Mereka ini tersilap langkah dan salah perhitungan gara-gara keghairahan rampas kuasa melalui jalan singkat. Ada pegawai yang baru enam bulan berjinak dalam PBKL dan mengetahui persatuan punyai kewangan kukuh selain kemudahan dari DBKL, MSKL dan MSWP, mendorongnya merancang politiking mengikut emosi semata-mata," tegas Daud.

Tambahnya, lihat sajalah di mesyuarat agung lalu, Fazin dilantik sebagau Setiasuaha Eksekutif dan Pengurus Velodrom tanpa memikirkan bahawa sebilangan Ahli Majlis yang sudah berkhidmat bertahun-tahun masih belum ditawarkan jawatan itu.

"Fazin dilantik sebagai Pengurus/ Jurulatih berelaun pasukan KL dalam persiapan ke SUKMA 2010 di Melaka dan pihak persatuan mendahulukan Rm6,9800 sebagai perbelanjaan latihan pelumba-pelumba terlibat.

"Kemudian kami dapat tahu bahawa Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyumbang sebanyak Rm10,980 dan cek itu sudah diambil pada 13 Ogos lalu tetapi cek itu hingga kini disembunyikan.

"Yang jadi masalah ialah sama ada Mesyuarat Agung lalu sah atau tidak, bukannya bank dan tidak ada sebab untuk sembunyikan cek itu," tegas Daud lagi.

"Harap maklum, persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1979 atas nama PLBWP/PLBKL/PBKL dan saya selaku Pengasas dan Ahli Seumur Hidup sudah tentu tidak mahu melihat selepas 30 tahun ianya hancur-lebur disebabkan segelintir orang yang pentingkan diri hingga memecah- belahkan perpaduan dalam sukan berbasikal Wilayah Persekutuan."

Desas-desus usaha melobi dan merayu pihak PPSM supaya diberi kebenaran sementara ke atas Mesyuarat Agung lalu amat memalukan, tambah Daud lagi.

No comments:

Post a Comment