Monday, December 27, 2010

PM: Seluruh negara amat berbangga

Kejayaan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad, membuktikan mutu permainan skuad bola sepak negara semakin meningkat, dan kejayaan itu amat membanggakan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya amat gembira dengan kemenangan itu. Pasukan negara menunjukkan persembahan baik malam ini, dan seluruh negara amat berbangga dengan pasukan kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan pasukan negara supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan malam ini kerana mereka masih mempunyai satu lagi tugas penting di perlawanan timbal balik akhir di Jakarta, Rabu ini.

“Mereka perlu menampilkan satu lagi persembahan mantap di Indonesia,” katanya.

Gol-gol Malaysia yang dijaringkan oleh Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-59 serta 71, dan Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-67, membolehkan Malaysia membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada perlawanan akhir kedua Rabu ini.

Seramai 85,000 penonton membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini, bukti jelas penyokong tempatan kini kembali memberi sokongan padu kepada kebangkitan skuad kebangsaan.

Sokongan dan minat Perdana Menteri kepada bola sepak negara terutama dalam saingan Piala Suzuki AFF terserlah apabila beliau sanggup duduk bersama penonton di atas jalanraya di kawasan Bukit Bintang, untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam, melalui skrin besar di kawasan itu pada 19 Disember lepas.

Malaysia menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengikat lawan tanpa sebarang jaringan pada perlawanan di Stadium My Dinh di Hanoi untuk melangkah ke perlawanan akhir.

1 comment:

  1. Kerajaan Malaysia diharap mengambil pendekatan yang lebih keras sekiranya terjadi sesuatu kepada Team Bola Sepak Malaysia di Jakarta. Yang pasti dendam membara dikalangan penyokong gila mereka bukan daripada pemain - pemain Timnas Indonesia. Kerajaan diharap jangan terlalu berlembut seperti yang berlaku di Std. Nasional Bukit Jalil dengan penyokong dan VIP Indonesia dilayan sempurna. Ingat!!! Apakah perkara yang sama bakal berlaku kepada pasukan dan delegasi kita di sana nanti?? Kepada Team Rajagobal, Selamat Berjaya!!! Bawa pulang Piala Suzuki dan kita round 1 Malaya arak piala itu..

    XABI ALONSO
    LARKIN

    ReplyDelete