Thursday, September 2, 2010

Malaysia lupakan hasrat anjur Sukan Asia 2019

Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk menganjurkan Sukan Asia 2019, setelah usul untuk membida penganjuran tersebut ditolak oleh Kabinet tiga minggu lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, hasrat tersebut ditolak oleh Kabinet, setelah mengambil kira kos penganjuran yang mencecah sehingga RM1.6 bilion dan tidak termasuk kos untuk membaik pulih kemudahan yang sedia ada.

Menurut Shabery, jika kerajaan meneruskan hasrat untuk meneruskan penganjuran tersebut, ia dikhuatiri akan menyebabkan rakyat merasa kurang selesa dengan jumlah kos yang tinggi bagi temasya sukan yang singkat.

''Kerajaan terpaksa mengambil langkah berjimat cermat kerana waktu ini tidak begitu sesuai untuk melaksanakan niat itu, kerana melibatkan perbelanjaan yang besar.

''Untuk membida sahaja kita memerlukan jumlah antara RM15 juta sehingga RM20 juta dan sekiranya kita menang dalam bidaan itu, apakah sesuai atau tidak kita menanggung kos yang tinggi bagi penganjuran yang singkat,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kuala Lumpur, Rabu.

Sebelum ini Malaysia bercadang untuk menganjurkan Sukan Asia 2019 edisi ke-18, setelah dua kali gagal dalam usaha untuk menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar di benua Asia itu
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, beliau juga telah pun memaklumkan kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) berhubung perkara itu.

''Dahulu kita telah maklumkan kepada Presiden OCA sebelum ini untuk menyatakan hasrat membida Sukan Asia 2019 dan kita juga telah maklumkan kepada mereka yang Malaysia tidak dapat meneruskan hasrat tersebut setelah keputusan daripada jemaah Menteri dibuat.

''Malah, saya dimaklumkan bahawa Dubai dan Hong Kong yang sebelum ini berminat untuk menganjurkan temasya itu juga tidak lagi menyatakan pendirian mereka,'' katanya. - Utusan.

2 comments:

  1. Kerajaan membuat keputusan yang tepat!!!

    XABI ALONSO
    LARKIN

    ReplyDelete
  2. I feel the Government has done the right thing in turning down the hosting of the Asian Games in 2019. I rather see that the Government have a blue print to improve sports in Malaysia. I also hope that the NSC be given more authority to execute their projects. Seriously I hope the Government also take a serious look at the structure of OCM, and whether this body promotes or hinder sports in Malaysia.

    ReplyDelete