Wednesday, June 29, 2011

Dewan Rakyat lulus Akta ISN

Rang Undang-undang Akta Institut Sukan Negara (ISN) 2011 yang dibaca untuk kali kedua dan ketiga telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Jun 2011. Rang undang-undang tersebut telah dibentangkan pertama kali pada 14 Mac 2011 setelah dipisahkan dari Majlis Sukan Negara (MSN) secara pentadbiran pada 25 April 2007.

Setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat, rang undang-undang Akta ISN 2011 akan dihantar ke Dewan Negara untuk medapatkan kelulusan dan kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan sebelum diwartakan.

Ini akan menjadikan ISN sebagai satu entiti tersendiri yang memberi fokus kepada perubatan sains dan teknologi sukan di Malaysia serta memberi perkhidmatan sokongan untuk atlet dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat atlet elit dengan menggunakan kaedah saintifik.

Dato’ Dr. Ramlan Abd Aziz, Ketua Pengarah ISN berkata, dengan adanya Akta ISN nanti, banyak perkara yang boleh dibuat antaranya membolehkan ISN melantik lembaga pengarahnya sendiri dalam menentukan tugas dan tanggungjawabnya secara terperinci.

Kewujudan ISN sebagai badan berkanun yang berasingan memberi kesan dan impak yang lebih meluas antaranya membantu Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha untuk membudayakan sukan di kalangan rakyat negara dan menyemarakkan ekosistem sukan negara serta menyumbang kepada industri sukan.

ISN juga bertanggungjawab dalam menyelaras dan melaksanakan pembangunan sains dan perubatan sukan terutamanya mengenal pasti bakat atlet di peringkat kanak-kanak menerusi sistem persekolahan kebangsaan di bawah seliaan Kementerian Pelajaran (KPM).

Dalam hubungan ini, ISN akan terus menyediakan bantuan dan kepakaran kepada MSN, KPM dan badan-badan berkepentingan yang lain samada dalam sektor awam mahupun swasta.

1 comment:

  1. Tahniah diucapkan kepada semua warga ISN. Teruskan khidmat yang murni ini untuk kemajuan sukan negara. Majulah Sukan untuk Negara.

    ReplyDelete